BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Rabu, 25 November 2009

Selamat bercuti..

Kepada murid-murid, guru-guru dan seluruh masyarakat SK Pekan Kuala Penyu diucapkan selamat bercuti... Jangan lupa pada tanggal 28hb Disember 2009 untuk pendaftaran bagi sesi persekolahan 2010.

Masanya belum sampai..

Setelah keputusan UPSR diumumkan secara rasmi pada hari khamis 19hb NOV 2009, ternyata pencapaian Sk Pekan masih jua belum berubah. Secara keseluruhannya, prestasi murid menunjukkan penurunan yang banyak berbanding tahun-tahun sebelumnya. Sk Pekan Kuala Penyu hanya mencatatkan peratus yang kurang dari 40%. Manakala bagi murid pula, pencapaian terbaik hanyalah mencatat keputusan 4A 1B melalui Nur Firdeana Bt Suhaik, 4A 1C melalui Dg.Adlyn Bt Ag.Damit dan Inawani Bt Suir.

Setelah melaksanakan pelbagai program peningkatan akademik sepanjang tahun 2009, namun pencapaian murid dalam UPSR masih lagi berada di takuk lama. Ternyata rezeki SK Pekan masih belum tiba, Insya Allah guru-guru akan terus berusaha meningkatkan prestasi murid-murid SK Pekan. Patah sayap bertongkat paruh, namun untuk menyerah tidak sekali..

Sabtu, 14 November 2009

Perkhemahan Unit Beruniform 2009

Perkhemahan Unit Beruniform peringkat SK Pekan Kuala Penyu tahun 2009 telah berjalan dengan jayanya pada 13 dan 14hb November 2009. Perkhemahan yang julung-julung kalinya diadakan telah dirasmikan penutupannya oleh Guru Besar SK Pekan Kuala Penyu. Murid-murid tahun 3, 4, 5 dan 6 yang menyertai perkhemahan ini menyatakan rasa keterujaan yang tinggi terhadap program ini. Seramai 83 orang pelajar telah menyertai perkhemahan ini.



Waktu tidur


Kembara berhalangan


Khemah murid lelaki


Beberapa gajet yang dibuat


Khemah murid perempuan

Ahad, 1 November 2009

Pelancaran Gerakan Membaca 1 Malaysia

Jumaat, 30hb Oktober 2009. Majlis pelancaran Gerakan Membaca 1 Malaysia peringkat SK Pekan Kuala Penyu telah berjaya dilancarkan oleh guru besar, En Johnny Teo. Sebagai simbolik kepada pelancaran ini, guru besar telah menandatangani replika buku cerita. Turut hadir menandatangani replika itu adalah YDP PIBG Tuan Hj Jokrie.



















Isnin, 26 Oktober 2009

Tahniah Madihah Zahirah Aima Bt. Zamharir

Pemenang Peraduan Poster NSC’09
Rabu, 14 Oktober 2009 04:24

Tahniah !!!

Anugerah Poster Terbaik NSC'09



Ini adalah lukisan yang dihasilkan oleh Madihah Zahirah Aima Bt. Zamharir, Murid Tahun 5 Gemilang SK Pekan Kuala Penyu. Lukisan ini terpilih sebagai antara 3 lukisan terbaik peringkat kebangsaan. Tiga poster yang dianugerahkan Anugerah Poster Terbaik NSC'09 akan dihantar untuk menyertai Peraduan Poster Asia-Pacific Regional Space Agency Forum ke-16 (Peraduan Poster APRSAF-16) kerjasama anjuran oleh Geo-Informatics and Space Technology Development Agency (GISTDA) dan Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA) dari 26 to 29 Januari 2010 di Bangkok, Thailand.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi

Urusetia Peraduan Poster NSC’09
Planetarium Negara
Agensi Angkasa Negara (ANGKASA)
53, Jalan Perdana,
50480 Kuala Lumpur
(u.p.: En. Jong Tze Kian / En. Basari Mat Yasit)

Tel : +603-2273 4303 Faks : +603-2273 5488
Emel : tkjong@angkasa.gov.my Alamat e-mail ini dilindungi dari spambots. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk paparkannya Laman Web : http://www.angkasa.gov.my/planetarium

Ahad, 18 Oktober 2009

Program RIMUP SK Pekan Kuala Penyu

15hb OKT 2009, Khamis. Satu program RIMUP yang dianjurkan oleh guru-guru, KTBM dan murid-murid SK Pekan Kuala Penyu telah berjaya dilangsungkan dengan jayanya. Rombongan SK Pekan Kuala Penyu telah diketuai sendiri oleh guru besar, En. Johnny Teo sampai di rumah Puan Kusnah pada jam 2.00 petang.

Dalam ucapan beliau, guru besar telah menerangkan tentang program RIMUP ini kepada masyarakat Kg.Kitang yang turut bersama-sama hadir pada petang itu. Antara acara yang dilangsungkan pada petang itu seperti

1. Ucapan aluan guru besar dan pengerusi JKKK Kg.Kitang

2. Gotong-royong

3. Penyampaian bantuan berupa wang tunai hasil sumbangan warga SK Pekan Kuala Penyu
dan barang-barang dapur.

4. Bacaan tahlil dan sedikit jamuan ringan yang disediakan secara beramai-ramai.


Berikut beberapa gambar yang sempat diambil





Rabu, 9 September 2009

Pendidik perlu sokong pemansuhan PPSMI - TPM

Pendidik perlu sokong pemansuhan PPSMI - TPM

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru warga pendidik di seluruh negara menyokong sepenuh hati pemansuhan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) demi perubahan sistem pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, golongan guru perlu memahami dan menghayati dasar-dasar baru kerajaan bagi menjelaskan kepada ibu bapa dan masyarakat tentang keputusan pemansuhan itu.

''Pastinya tidak elok kalau di kalangan warga pendidik berdebat ada yang pro dan ada yang kontra. Apabila kerajaan membuat sesuatu keputusan, ia memang ada rasionalnya.

''Justeru saya berharap sokongan 100 peratus dari kalangan warga pendidik atas dasar dan perubahan yang kita buat, biarlah sepenuh hati kalau tidak nanti ada yang berbelah-bahagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perhimpunan bersama warga pendidik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Muhyiddin turut mengakui pencapaian PPSMI pelajar di bandar agak baik tetapi bilangannya amat rendah.

''Berdasarkan realiti ini kerajaan berpandangan bahawa sekiranya dasar PPSMI diteruskan, majoriti pelajar yang sederhana dan lemah dalam menguasai bahasa Inggeris akan mengalami double jeorpady (kesukaran berganda).

''Jika berterusan, dikhuatiri akan berlaku situasi defisit pengetahuan di kalangan pelajar di mana pelajar yang gagal menguasai konsep asas sains dan matematik menghadapi masalah untuk menguasai ilmu sains dan matematik di peringkat lebih tinggi," katanya.

Muhyiddin berkata, walaupun terdapat suara-suara yang membantah pemansuhan PPSMI terutama di akhbar dan blog, namun suara majoriti senyap harus diambil kira.

''Mungkin 80,000 yang tidak setuju (dengan pemansuhan ini) dalam blog, tapi dekat luar ada dua tiga juta lagi yang menyokong," katanya.

Beliau menambah, lima buah Institusi Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) kampus bahasa Inggeris akan diwujudkan untuk melatih guru-guru bahasa Inggeris supaya guru-guru bahasa Inggeris terbaik dan guru-guru terbaik dari luar negara dapat ditempatkan di kawasan luar bandar.

Ini termasuk menyediakan insentif khusus kepada guru-guru bahasa Inggeris yang bersedia berkhidmat di luar bandar.

Katanya, enam jawatankuasa kecil telah dibentuk untuk melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia (MBM) dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBI).

''Jawatankuasa ini bertanggungjawab memperincikan aspek latihan guru, kurikulum, penyediaan buku teks, logistik, personel dan penerangan demi kebaikan kualiti pendidikan kebangsaan," katanya.

Selasa, 8 September 2009

Kenyataan KPPM - Menghadapi Wabak Influenza A (H1N1) Semasa Peperiksaan Awam Tahun 2009

KENYATAAN
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
MENGHADAPI WABAK INFLUENZA A (H1N1) SEMASA PEPERIKSAAN AWAM TAHUN 2009


Adalah dimaklumkan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) amat memandang serius berhubung penularan wabak Influenza A (H1N1) kepada masyarakat khususnya di kalangan murid-murid sekolah. Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Mengenai Pandemik H1N1 Bil. 2/2009 yang dipengerusikan oleh YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri pada 4 Ogos 2009 telah membuat keputusan bahawa pelaksanaan peperiksaan awam tetap diteruskan mengikut jadual sebagaimana yang telah disiarkan dalam akhbar tempatan pada 5 Ogos 2009.

Ini adalah perkara yang perlu diketahui umum sebagai persediaan menghadapi peperiksaan.


* Situasi pertama, murid yang telah dimasukkan ke wad boleh menduduki peperiksaan di hospital.
* Situasi kedua, murid yang menunjukkan tanda-tanda dijangkiti wabak Influenza A (H1N1) akan dikenalpasti oleh guru sekolah sebelum peperiksaan dan akan diasingkan dari murid-murid yang sihat untuk menduduki peperiksaan di bilik khas di pusat peperiksaan di sekolah.
* Situasi ketiga, jika penularan wabak tidak dapat dibendung hanya murid yang menduduki peperiksaan sahaja diminta hadir ke sekolah, manakala murid lain diberi cuti sehingga peperiksaan tamat.


KPM telah membuat persediaan rapi termasuklah bekerjasama dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menangani wabak ini.

KPM memerlukan maklumat sebenar dari calon agar pemantauan dan bantuan sewajarnya dapat diberikan kepada calon. KPM memohon pihak sekolah agar sentiasa peka terhadap kesihatan calon dan menyalurkan maklumat calon kepada bilik gerakan. KPM akan mengoperasikan bilik gerakan di peringkat Pusat dan Jabatan Pelajaran Negeri serta Pejabat Pelajaran Daerah seminggu sebelum peperiksaan bermula.

Saya menasihatkan pihak pentadbir sekolah untuk meningkatkan tahap kebersihan murid-murid dan sekolah agar penularan Influenza A (H1N1) dapat dikawal. Di sekolah, pengetua, guru besar dan guru bertugas dikehendaki membuat pemeriksaan sebelum peperiksaan bermula untuk membolehkan murid sihat diasingkan dari murid yang menunjukkan gejala wabak ini. Calon yang menunjukkan gejala wabak atau telah dijangkiti wabak akan dibantu dengan membekalkan topeng muka semasa peperiksaan.

Saya bagi pihak KPM menyeru dan menasihatkan supaya semua ibu bapa sentiasa peka dan mengikut panduan penjagaan kesihatan serta mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengelak virus ini dari terus merebak dan mengancam kesihatan anak-anak kita. Sekiranya anak-anak menunjukkan gejala dijangkiti wabak ini, segeralah ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Kepada para petugas peperiksaan juga diingatkan agar mematuhi arahan dan mengambil langkah pencegahan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kepada para pelajar yang akan menduduki peperiksaan pula, saya menasihatkan agar menjaga kesihatan diri semoga tidak dijangkiti penyakit ini dan dapat menduduki peperiksaan.

Saya mendoakan semua calon dilindungi Allah supaya dapat menduduki peperiksaan dengan jayanya. Manakala bagi warga sekolah dan para petugas peperiksaan bersama-samalah kita berdoa agar dijauhi dari wabak ini.


Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom
Ketua Pengarah Pelajaran
Kementerian Pelajaran Malaysia
Putrajaya

Maklum Balas Laporan Akhbar The Star

Maklum Balas Laporan Akhbar The Star (13 Ogos 2009)


RESPONSE TO NEWSPAPER REPORT



Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Laporan Akhbar The STAR dalam ruangan Surat Kepada Pengarang bertarikh 13 Ogos 2009 (HARD TO SWALLOW THE HARD FACTS).

Melalui pendekatan “soft landing”, guru digalakkan mengajar Sains dan Matematik dalam dwibahasa mulai 2010 di sekolah rendah dan sekolah menengah.

Di sekolah Kebangsaan, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSM) akan menggunakan bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina), PPSMI akan disampaikan dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina, manakala di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) dalam Bahasa Inggeris dan Tamil. Peperiksaan UPSR akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehingga tahun 2016.

Di sekolah Menengah, PPSM dilaksanakan dalam Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris. Sehubungan itu, peperiksaan Sains dan Matematik SPM akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehingga tahun 2015.

Memang tidak dapat dinafikan terdapat guru yang mengajar menggunakan dwi bahasa (Bahasa Malaysia dan Inggeris) tetapi aktiviti ini tidak menggambarkan guru tidak boleh berbahasa Inggeris dalam pengajarannya. Guru mengambil kira kesesuaian dan teknik diambilkira. Contohnya guru yang mengajar pelajar yang mempunyai kebolehan rendah atau lembam, guru terpaksa menggunakan dwi bahasa jika tidak, pelajar tidak memahami pengajaran guru tersebut. Bagi kelas yang mempunyai pelajar yang cerdas atau pintar, guru yang mengajar tidak mempunyai masalah menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya.

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di bawah tanggungjawab Lembaga Peperiksaan Malaysia telah merancang dengan teliti langkah-langkah yang perlu diambil dalam menangani ujian atau peperiksaan awam. Antaranya setiap soalan dalam peperiksaan awam telah dibuktikan kesahihannya dari pelbagai sudut. Kementerian juga memberi latihan terhadap pemeriksa kertas peperiksaan awam serta membina dan membekalkan skema jawapan dalam dwi bahasa bagi membantu pemeriksa.

Kementerian Pelajaran di bawah tanggungjawab Lembaga Peperiksaan Malaysia mempunyai penyelesaian tersendiri dalam hal ini. Setiap peperiksaan yang dijalankan disusuli oleh skema jawapan yang lengkap dalam dwi bahasa. Jadi tidak timbul masaalah memeriksa kertas jawapan tersebut.

Setiap kertas jawapan pelajar tidak kira sama ada dalam Bahasa Melayu atau Inggeris akan dihantar ke pusat pemeriksaan yang telah ditetapkan dan diluluskan oleh pihak Kementerian. Kertas tersebut akan diperiksa oleh pemeriksa yang berpengalaman dan sebagai panduan pemeriksa akan dibekalkan dengan skema jawapan dalam dwi bahasa.



UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

3 SEPTEMBER 2009

Kapal selam pertama tiba

Kapal selam pertama tiba





YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melakukan lawatan ke kapal selam pertama negara KD Tunku Abdul Rahman (KD TAR) pada upacara sambutan ketibaan kapal itu di Jeti KD Sultan Abdul Aziz semalam.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

KD TAR antara dua kapal selam jenis Scorpene yang ditempah kerajaan untuk memperkukuhkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Penduduk minta siapkan segera pembinaan SK Salarom

NABAWAN 4 Sept. - Jabatan Pelajaran Sabah diminta menyegerakan pembinaan bangunan baru Sekolah Kebangsaan (SK) Salarom, dekat sini bagi memastikan lebih 100 pelajar di sekolah berkenaan dapat belajar dengan selesa.

Tinjauan Utusan Malaysia di tapak pembinaan mendapati projek membina bangunan menggunakan kaedah pasang siap itu kelihatan seperti terbengkalai apabila bahan-bahan binaan bersepah dan tidak menampakkan kerja-kerja sedang dijalankan.

Beberapa pemimpin masyarakat dari kampung berdekatan ketika ditemui menyuarakan rasa kecewa dan bimbang dengan keadaan itu dan meminta pihak berkuasa mengatasi segera kelewatan itu.

Ketua Kampung Salarom, Mandaun Ampungit, 60, berkata, kerja-kerja pemasangan itu amat perlahan menyebabkan bahan-bahan pembinaan serta peralatannya rosak dan tidak boleh digunakan lagi.

Keadaan itu katanya, membimbangkan ibu bapa kerana jika bangunan sekolah baru itu yang dimulakan kerja-kerjanya pada 2007 lambat siap, kesesakan akan terus berlaku di bangunan lama sekolah.

"Bukan itu sahaja, perkara yang amat dibimbangkan tahap kebersihan dan keselamatan di persekitaran kawasan itu kerana terdapat serpihan dan potongan zink bertaburan di merata tempat," katanya.

Lebih menyakitkan hati penduduk tempatan katanya, pekerja-pekerja pembinaan sekolah pasang siap yang tinggal di situ membuang air besar di kawasan semak sekolah itu.

Menurutnya, perbuatan tidak bertanggungjawab pekerja berkenaan disedari oleh ibu bapa semasa mengadakan gotong-royong membersih kawasan sekolah itu baru-baru ini.

Ketua Kampung Tataluan, Andoi Tawanon, 61, pula berkata, bangunan baru sekolah itu sepatutnya tidak mempunyai masalah kerana semua bahan-bahan pembinaan sudah tersedia.

"Semua bahan sudah ada dan cuma menunggu untuk dipasang sahaja, kita boleh lihat bahan-bahan binaan dan peralatan berlonggok dan ada sesetengahnya sudah rosak," katanya.

Sehubungan itu katanya, pihak sekolah tidak boleh berdiam diri dengan keadaan tersebut dan tindakan tegas perlu dilakukan untuk kebaikan murid-murid sekolah tersebut.

Sesi persekolahan 2010 bermula 3 Januari bagi Kedah, Kelantan, Terengganu

KUALA LUMPUR: Sesi persekolahan tahun depan akan bermula pada 3 Januari bagi Kedah, Kelantan serta Terengganu, dan negeri-negeri lain pula pada hari berikutnya iaitu 4 Januari, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Beliau berkata, cuti penggal pertama pula akan bermula dari 12 hingga 20 Mac bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu, sementara bagi negeri lain pada 13 hingga 21 Mac.

"Sementara itu cuti pertengahan tahun pula bermula dari 4 hingga 19 Jun bagi ketiga-tiga negeri itu, dan negeri lain bermula pada 5 hingga 20 Jun," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Beliau berkata, cuti penggal kedua pula akan bermula dari 3 hingga 11 September, dan cuti akhir tahun dari 19 November hingga 1 Januari 2011 bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Sementara itu, bagi negeri-negeri lain, cuti penggal penggal kedua akan bermula pada 4 hingga 12 September, dan cuti akhir tahun dari 20 November hingga 2 Januari 2011," katanya.

Alimuddin berkata, jumlah hari persekolahan termasuk cuti am tahun depan ialah 210 hari, manakala jumlah cuti penggal 78 hari. - Bernama

Rabu, 2 September 2009

Elak rugi di bulan Ramadan

Sumber Utusan Malaysia


bermain dam adalah antara aktiviti kegemaran semasa bulan puasa tetapi ia perlu dihadkan untuk mengelak masa kita terbuang begitu sahaja. - Gambar hiasan


SEMACAM menjadi suatu tradisi pada setiap kali Ramadan, kita akan fikirkan tentang apa juadah yang akan dihidangkan waktu berbuka dan sewaktu bersahur dengan kecurnya air liur.

Tidak hairanlah kalau pasar Ramadan tumbuh macam cendawan selepas hujan sepanjang Ramadhan manakala setiap gerai pula rata-rata dikerumuni pelanggan macam semut mengerumuni gula.

Juallah apa sahaja, termasuk celur pucuk ubi kayu atau pucuk ubi keledek, acar pisang butir banyak, celur jantung pisang, ikan kering bakar dan pelbagai jenis makanan yang dianggap lekeh dan tidak munasabah untuk diniagakan pada bulan-bulan biasa, semuanya laris pada bulan puasa.

Sekali gus bulan Ramadan umpama bulan bonus atau bulan durian runtuh bagi para peniaga juadah. Ada peniaga yang yang kata berniaga sebulan bulan Ramadan boleh menampung keperluan hidup keluarga untuk tempoh setahun.

Pagi-pagi lagi di ruang-ruang pejabat atau bila dua sahabat bertemu di mana-mana sahaja, paling lazim yang menjadi tajuk utama percakapan ialah tentang apa yang mahu dijadikan juadah berbuka. Juga juadah untuk bersahur.

Kononnya sekian-sekian juadah mesti kena ada sewaktu berbuka atau bersahur di samping akan diceritakan kedai mana yang paling bagus untuk berbuka, untuk bersantai sementara tunggu mata mengantuk dan juga kedai yang mampu membuka selera ketika bersahur.

Jarang yang bertanya atau berbincang tentang berapa surah daripada 114 surah al-Quran, berapa juzuk daripada 30 juzuk kitab suci itu dan berapa ayat daripada 6,236 ayat keseluruhan al-Quran,

Daripada jumlah itu, 4,780 daripadanya diturunkan di Mekah dan dinamakan surah/ayat Makkiyyah manakala 1,456 ayat lagi diturunkan di Madinah dan dinamakan surah/ayat Madaniyyah yang sudah dibaca dihayati.

Juga jarang ditanya pada malamnya pula apakah diisi dengan sembahyang sunat terawih, dilipatgandakan sembahyang sunat tahajud, sunat tasbih dan macam-macam sembahyang sunat atau masih kekal pada bulan-bulan Ramadan yang lepas-lepas, banyak masa dihabiskan dengan bersantai di warung-warung menikmati pelbagai hidangan santai ketika rakan-rakan yang lain di masjid, surau atau madrasah, bertarawih.

Pada siang harinya pula apakah ditukar tabiat daripada bercakap tentang hal-hal keduniaan yang bersifat mengumpat individu-individu tertentu, kepada membanyakkan berzikir dan beristighfar dan juga menyambung bacaan al-Quran yang dibaca pada malam hari atau menjelang pagi serta selepas sembahyang Subuh supaya cepat khatam.

Yang kena diperakukan bahawa Ramadan memang bulan pesta, bulan bonus, bulan Mega Sale dan aneka macam mega tetapi bukan dalam bentuk pesta melambakkan pelbagai juadah di meja makan, lebih-lebih lagi hingga sampai ke tatap menyumbang kepada pembaziran.

Sebaliknya Ramadan adalah bulan Allah SWT melelong, membuat Mega Sale dan memberi bonus pahala berganda kepada hamba-hamba-Nya yang mengambil kesempatan dari mubaraknya Ramadan untuk bertaubat nasuha dan memperbanyakan ibadah dengan ganjaran berganda berbanding dengan bulan-bulan biasa.

Selain para penjual mendapat laba dari kelarisan jualan juadah berbuka dan bersahur, kita tidak akan dapat laba apa sepanjang Ramadan kalau kekalkan tabiat menjadikan bulan Ramadan sebagai pesta juadah. Sedangkan dari sudut amal ibadahnya tidak meningkat pun dan tetap juga kekal pada tahap biasa.

Apatah lagi jika yang berdosa membiarkan diri kekal dengan dosa tanpa bertaubat nasuha.

Semalas mana pun kita, kena usahakan juga supaya khatam al-Quran sekali dalam bulan puasa yang mana kalau bulan-bulan biasa setiap ayat yang dibaca akan dibayar dengan 10 kebajikan oleh Allah.

Jjika dibaca keseluruhan ayat al-Quran yang mengandungi 1.2 juta huruf dibaca kita akan dapat 12 juta kebajikan, bila al-Quran dibaca pada bulan puasa, maka jumlah kebajikannya tentulah berlipat kali ganda lagi.

Demikian juga dengan amalan-amalan lain termasuk bersedekah, sembahyang sunat, berzikir, beristighfar, memulakan penghidupan baru yakni meninggalkan kehidupan mungkar kepada kehidupan yang diredai-Nya akan diganjarkan juga dengan pahala yang berganda.

Rugi benar kalau kita tidak rebut peluang yang Allah sediakan sepanjang Ramadan.

Kementerian akan bertindak





Sumber : Utusan Malaysia

PUTRAJAYA 19 Ogos - Guru-guru yang didapati mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu sepenuhnya sebelum dasar pembelajaran dan pengajaran kedua-dua subjek itu diadakan dalam dwibahasa pada 2010, akan dikenakan tindakan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, buat masa ini semua guru yang mengajar kedua-dua mata pelajaran itu masih perlu menggunakan bahasa Inggeris kerana buku teks dan perisian komputer adalah dalam bahasa itu.

''Pengetua dan Guru Besar diberi tanggungjawab memantau perkembangan ini kerana pemansuhan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hanya bermula 2012.

''Kita akan ambil tindakan terhadap guru dan pengetua yang ingkar kerana mereka tidak boleh langgar dasar kerajaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas rungutan segelintir ibu bapa yang mendakwa ada guru yang sudah mula mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu.

Alimuddin menambah, guru-guru hanya dibenarkan mengajar dalam dwibahasa mulai 2010 memandangkan pada ketika itu buku-buku teks dalam bahasa Melayu sudah mula ada.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, lima buah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) akan dijadikan pusat pengkhususan Bahasa Inggeris bagi pra dan dalam perkhidmatan.

Ia membabitkan Institut Perguruan Malaysia, Kampus Bahasa Antarabangsa (IPBA), Kuala Lumpur; English Learning Teaching Centre (ELTC) Kuala Lumpur; IPGM Datuk Razali, Kuala Terengganu; IPGM Rajang, Sarawak dan IPGM Gaya di Sabah.

Ditanya mengenai status elaun kritikal yang diperoleh guru-guru Sains dan Matematik selepas pemansuhan PPSMI, beliau berkata, perkara itu masih belum dibincangkan lagi.

Selasa, 1 September 2009

Kembali ke sekolah...


Hari ini tanggal 1 September 2009, murid dan guru-guru kembali semula ke sekolah setelah bercuti rehat selama
seminggu. Mudah-mudahan cuti ini dapat menyegarkan kembali semangat kita untuk membuat yang terbaik untuk
agama, bangsa dan negara.

Hari ini juga merupakan hari ke sebelas umat Islam berpuasa, ini bermakna kita telah berada di fasa pertengahan
ramadhan. Sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis, pertengahan puasa adalah keampunan Allah kepada umatnya.

Isnin, 31 Ogos 2009

Persediaan Terakhir sebelum UPSR

Dalam sedar tak sedar, peperiksaan UPSR 2009 hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Adakah murid-murid tahun 6 sudah bersedia?? Jawapannya hanya ada pada anda.. Kami guru-guru telah membuat segala persediaan sekarang adalah masanya bagi murid-murid tahun 6 menterjemahkan segala ilmu yang telah diperolehi ke dalam kertas peperiksaan. Mudah-mudahan kejayaan sentiasa bersama-sama dengan kita...

Blog kini kembali aktif...

Alhamdulillah.. Setelah beberapa bulan terhenti kini blog skpekan kembali aktif. Selamat menyambut hari kemerdekaan yang ke-52 tahun..



Ahad, 5 Julai 2009

Blog sedang dalam proses kemaskini..

buat masa ini blog ini sedang dikemas kini.. Insyaallah akan kembali dengan paparan baru

Isnin, 27 April 2009

Sudahkah anda menyelesaikan e-filing anda

Hari ini 27hb April,tinggal empat hari lagi sebelum kita melangkah ke bulan mei. Serentak dengan itu, sudahkah anda menyelesaikan borang taksiran cukai anda. Bagi yang belum bolehlah mengisi borang taksiran secara online di http://www.hasil.gov.my dan klik pada bahagian e-filing.

Minggu yang sibuk bagi guru-guru SK Pekan

Minggu ini merupakan minggu yang sibuk bagi guru-guru SK Pekan. Selain memenuhi tuntutan tugas hakiki selaku pendidik,guru-guru juga terlibat secara aktif dengan kegiatan ko-kurikulum. Pada minggu ini guru-guru yang terlibat dengan bola baling melatih murid-murid mempersiapkan pasukan daerah yang akan menyertai pertandingan bola baling zon selatan pada 29hb April di padang Majlis Daerah.

Di samping itu, beberapa orang guru juga terlibat dengan Projek Salinatan kelolaan IPG Gaya di Dewan Pak Musa, Beaufort. Kita juga telah terpilih sebagai penganjur Temasya Nasyid Zon Selatan yang akan berlangsung pada awal mei nanti,namun gerak kerja telah mula berjalan pada minggu ini.

Jumaat, 24 April 2009

Bola Baling Zon Selatan

Setelah menjuarai Kejohanan Bola Baling MSSD Kuala Penyu, kini kita pula akan menghadapi Kejohanan Bola Baling Zon Selatan pada 29hb April 2009. Pada kejohanan pada tahun ini, Daerah Kuala Penyu pula menjadi tuan rumah buat julung kalinya.

Selaku juara peringkat daerah, seramai 7 orang pemain sekolah telah terpilih mewakili daerah pada tahun. Manakala Ketua Jurulatih Pasukan Bola Baling SK Pekan pula menjadi Ketua Jurulatih pada kali ini. Antara pemain yang tepilih adalah

  1. Rafizan B Mokhsin Tahun 6
  2. Ikhwan Danial B Ismail Tahun 6
  3. Azaha B Othman Tahun 6
  4. AK Mohd Farhan B Ak Tamin Tahun 5
  5. Ady Al-Fikri B Mail Tahun 5
  6. Ariffin B Japar Tahun 6
  7. Dzulkarnain B Alias Tahun 5

Manakala bagi jurulatih adalah Cikgu Masni Muin selaku Ketua Jurulatih, Cikgu Azamain B Ag Damit jurulatih dan Cikgu Indra Shafie sebagai fisioterapi.

Adalah diharapkan pemain-pemain yang terpilih ini dapat menunjukkan mutu permainan yang terbaik bagi mengharumkan lagi nama sekolah. SK Pekan Kuala Penyu, TERUS MAJU >>

Rabu, 22 April 2009

Selamat Berjaya Kepada Pasukan Nasyid

Diucapkan selamat berjaya kepada pasukan nasyid sekolah yang akan menyertai Pertandingan Nasyid Daerah di SMK Menumbok. Pasukan nasyid ini telah dibimbing oleh Ustazah Roslinda, Ustazah Nurul Ashikin, Cikgu Noraffendy dan Cikgu Latifah. Diharapkan pasukan mampu membuat persembahan dengan baik demi memastikan SK Pekan Kuala Penyu TERUS MAJU >>>

Selasa, 21 April 2009

Kita Juara Lagi...

Berkat usaha yang tidak mengenal jemu, latihan yang berterusan, semangat yang jitu, akhirnya sekali lagi SK Pekan Kuala Penyu menjadi juara Bola Baling Daerah Kuala Penyu. Ini merupakan kemenangan yang manis bagi sekolah kita. Disamping dapat mengekalkan kejuaraan tahun lepas, kejuaraan ini bertambah manis apabila dimenangi oleh pasukan tuan rumah. Namun begitu, bagi pasukan perempuan kita masih belum mencapai sasaran yang kita tetapkan, insya allah untuk tahun depan kita akan berusaha untuk menjadi juara bagi kedua-dua kategori.










Selasa, 14 April 2009

Peristiwa Minggu Ini

Dalam sedar tidak sedar, kita telah berada dipertengahan bulan April. Terasa cepat sangat hari berlalu, hingga kita terlupa sekarang kita berada pada bulan April. Pada minggu ini antara peristiwa yang telah dan akan berlaku adalah ;

  • Latihan fasa akhir pasukan bola baling
  • Mesyuarat Induk Jawatankuasa Penganjuran Festival Nasyid Zon Selatan
  • Kelas ganti bagi cuti Hari Raya Aidilfitri 2009

Isnin, 6 April 2009

Tarikh Baru Bola Baling Daerah

6 April 2009, satu mesyuarat induk jawatankuasa penganjur Kejohanan Bola Baling Daerah telah diadakan di bilik mesyuarat SK Pekan Kuala Penyu. Ahli mesyuarat telah bersepakat menganjak tarikh kejohanan tersebut kepada 20 dan 21 April 2009.

Adalah diharapkan dengan perubahan tarikh tersebut, Daerah Kuala Penyu dapat menyediakan pasukan yang betul-betul mantap untuk menghadapi Kejohanan Bola Baling Peringkat Zon Selatan yang akan diadakan pada 22-24 April 2009 yang akan diadakan di Daerah Kuala Penyu.

Jumaat, 3 April 2009

Latihan Bola Baling

Pada masa ini, latihan pasukan bola baling sedang giat dijalankan untuk menghadapi kejohanan bola baling MSSD Kuala Penyu yang akan berlangsung pada 20 dan 21 APRIL di SK Pekan Kuala Penyu.


Tahniah Pasukan Bola Sepak...

Pasukan bolasepak sekolah telah berjaya mendapat tempat ketiga pada kejohanan bolasepak MSSD Kuala Penyu. Pasukan kita telah tewas melalui sepakan penalti pada peringkat separuh akhir kepada SK Sinapokan yang merupakan juara pada kejohanan tahun ini. Pasukan yang dibentuk hanya beberapa hari telah berjaya menunjukkan prestasi yang baik sepanjang kejohanan tersebut. Dua orang pelajar telah berjaya terpilih mewakili Daerah Kuala Penyu ke Kejohanan Bola Sepak Peringkat Zon Selatan, mereka adalah Zulkarnain Alias dan Ikhwan Daniel. Untuk tahun hadapan, kita akan berazam untuk muncul juara, insya allah...

Selasa, 24 Mac 2009

Setinggi bangunan Sk Pekan Kuala Penyu,

tinggi lagi iltizam dan semangat kami para guru untuk

melihat murid-murid sekolah ini mencapai kejayaan.


Seteguh timbunan-timbunan konkrit SK Pekan Kuala Penyu,
teguh lagi keazaman kami mendidik anak-anak murid sekolah ini.



Inilah wajah-wajah pemimpin kita pada masa akan datang..

Khamis, 12 Mac 2009

Aktiviti Minggu Bahasa Inggeris 2009

Sambutan daripada murid-murid terhadap aktiviti Minggu Bahasa Inggeris 2009 adalah sangat menggalakkan dan diluar jangkaan. Sebanyak 20 kumpulan telah menyertai pertandingan explore race dan seramai 29 orang murid telah menyertai pertandingan karaoke lagu-lagu Bahasa Inggeris


Murid mendengar nyanyian


Salah seorang peserta pertandingan karaoke


Hakim pertandingan karaoke


Peserta Explore Race sedang mendengar arahan daripada Guru
.

Rabu, 11 Mac 2009

Minggu Bahasa Inggeris 2009

Panatia Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains telah bergabung tenaga menganjurkan Minggu Bahasa Inggeris. Antara aktiviti yang dianjurkan adalah seperti ;

  • Spell It Right
  • Quiz
  • Explore Race



Cikgu Abdullah sedang mengendalikan Kuiz Sains



Spell it right activity


Cikgu Fendi sedang mengendalikan kuiz Matematik


Story telling competition

Isnin, 2 Mac 2009

Februari berlalu.. Mac kini menjelma

Dalam sedar tak sedar.. Februari telah meninggalkan kita, kini Mac pula menemani kita.. Antara peristiwa penting yang akan berlaku pada bulan Mac ini adalah seperti ;

  • Kejohanan Olahraga Peringkat Zon Selatan yang berlangsung di SMK Benoni
  • Kejohanan Bolasepak daerah
  • Perkhemahan Ko-kurikulum Peringkat Negeri Sabah di Kiulu
Walau apapun acara yang kita ikuti pastikan SK Pekan Kuala Penyu akan membuat yang terbaik, jangan kalah sebelum berjuang, SK Pekan Kuala Penyu terus maju....

Jumaat, 27 Februari 2009


Kelas Skim Bantuan Tuisyen akan bermula secara rasminya pada hari Sabtu 28 FEB 2009. Untuk minggu pertama ini, kelas yang akan diajar adalah bagi matapelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Adalah diharapkan murid-murid yang telah terpilih dapat menghadirkan diri demi untuk meningkatkan lagi pencapaian murid-murid itu sendiri.

Khamis, 26 Februari 2009

Ujian Bulanan telah berlalu...

Guru-guru telah mula menyemak kertas jawapan murid. Ujian bulanan satu tamat pada hari ini.



Mesyuarat Guru SK Pekan Kuala Penyu.

Dalam meningkatkan pencapaian murid-murid sekolah ini, satu mesyuarat berkenaan kurikulum telah diadakan pada 25hb FEB. Banyak perkara telah dibincangkan semata-mata mahu memastikan agar pencapaian murid-murid dapat ditingkatkan ke arah yang lebih baik lagi...


Guru-guru mengikuti mesyuarat dengan penuh tekun



Cikgu memberikan pendapat dalam mesyuarat

Rabu, 25 Februari 2009

Ujian Bulanan 1

Hari ini 25hb FEB 2009, ujian bulanan pertama telah bermula. Pada ujian bulanan inilah akan menjadi titik permulaan kepada pencapaian sepanjang tahun 2009.












Bagi guru-guru pula, ujian bulanan satu inilah akan menjadi pengukur awal terhadap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran yang telah dilakukan sepanjang dua bulan awal ini. Bagi murid-murid terutamanya tahun enam ini akan menjadi penanda aras kepada pencapaian mereka untuk menghadapi UPSR pada tahun ini.



Selasa, 24 Februari 2009

Majlis Perjumpaan Bersama Ibu Bapa

21 Februari 2009, SK Pekan Kuala Penyu. Satu perjumpaan bersama para ibu bapa dan pelajar tahun 6 yang akan menduduki UPSR pada tahun ini telah diadakan. Majlis yang dianjurkan oleh pihak sekolah bersama dengan PIBG mendapat sambutan yang baik daripada ibu bapa. Pada majlis ini ceramah motivasi telah disampaikan oleh Encik Osman Sidek daripada Unit Khas PPD Kuala Penyu. Selain itu para guru, ibu bapa dan pelajar-pelajar tahun 6 juga telah melafazkan ikrar untuk sama-sama bekerja keras meningkatkan pencapaian UPSR pada tahun ini. Program ini telah disempurnakan majlis perasmiannya oleh Encik Mastan Bin Hj Ahmad.


Ucapan perasmian oleh PPD Kuala Penyu, Encik Mastan Bin Hj Ahmad


Murid tahun 6 melafazkan ikrar belajar bersungguh-sungguh




Jumaat, 20 Februari 2009

MSSD KUALA PENYU





SK Pekan Kuala Penyu telah menyertai Karnival Olahraga MSSD Kuala Penyu yang berlangsung
di Padang Majlis Daerah Kuala Penyu dari 18hb Feb hingga 20hb Feb 2009. SK Pekan mengambil bahagian dalam semua acara yang dipertandingkan. Disamping itu juga, kita turut menghantar wakil dalam pertandingan perbarisan.
Untuk acara keseluruhan,SK Pekan Kuala Penyu telah mendapat tempat kedua dengan memperolehi 4 Emas, 2 Perak dan 1 Gangsa. Tahniah diucapkan kepada kontigen Sekolah, Insya Allah kita rebut kembali mahkota kejohanan yang terlepas pada tahun ini.