KUALA LUMPUR: Sesi persekolahan tahun depan akan bermula pada 3 Januari bagi Kedah, Kelantan serta Terengganu, dan negeri-negeri lain pula pada hari berikutnya iaitu 4 Januari, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.
Beliau berkata, cuti penggal pertama pula akan bermula dari 12 hingga 20 Mac bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu, sementara bagi negeri lain pada 13 hingga 21 Mac.
"Sementara itu cuti pertengahan tahun pula bermula dari 4 hingga 19 Jun bagi ketiga-tiga negeri itu, dan negeri lain bermula pada 5 hingga 20 Jun," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Beliau berkata, cuti penggal kedua pula akan bermula dari 3 hingga 11 September, dan cuti akhir tahun dari 19 November hingga 1 Januari 2011 bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Sementara itu, bagi negeri-negeri lain, cuti penggal penggal kedua akan bermula pada 4 hingga 12 September, dan cuti akhir tahun dari 20 November hingga 2 Januari 2011," katanya.
Alimuddin berkata, jumlah hari persekolahan termasuk cuti am tahun depan ialah 210 hari, manakala jumlah cuti penggal 78 hari. - Bernama
Selasa, 8 September 2009
Sesi persekolahan 2010 bermula 3 Januari bagi Kedah, Kelantan, Terengganu
Rabu, 2 September 2009
Elak rugi di bulan Ramadan
Sumber Utusan Malaysia
![]() |
| bermain dam adalah antara aktiviti kegemaran semasa bulan puasa tetapi ia perlu dihadkan untuk mengelak masa kita terbuang begitu sahaja. - Gambar hiasan |
SEMACAM menjadi suatu tradisi pada setiap kali Ramadan, kita akan fikirkan tentang apa juadah yang akan dihidangkan waktu berbuka dan sewaktu bersahur dengan kecurnya air liur.
Tidak hairanlah kalau pasar Ramadan tumbuh macam cendawan selepas hujan sepanjang Ramadhan manakala setiap gerai pula rata-rata dikerumuni pelanggan macam semut mengerumuni gula.
Juallah apa sahaja, termasuk celur pucuk ubi kayu atau pucuk ubi keledek, acar pisang butir banyak, celur jantung pisang, ikan kering bakar dan pelbagai jenis makanan yang dianggap lekeh dan tidak munasabah untuk diniagakan pada bulan-bulan biasa, semuanya laris pada bulan puasa.
Sekali gus bulan Ramadan umpama bulan bonus atau bulan durian runtuh bagi para peniaga juadah. Ada peniaga yang yang kata berniaga sebulan bulan Ramadan boleh menampung keperluan hidup keluarga untuk tempoh setahun.
Pagi-pagi lagi di ruang-ruang pejabat atau bila dua sahabat bertemu di mana-mana sahaja, paling lazim yang menjadi tajuk utama percakapan ialah tentang apa yang mahu dijadikan juadah berbuka. Juga juadah untuk bersahur.
Kononnya sekian-sekian juadah mesti kena ada sewaktu berbuka atau bersahur di samping akan diceritakan kedai mana yang paling bagus untuk berbuka, untuk bersantai sementara tunggu mata mengantuk dan juga kedai yang mampu membuka selera ketika bersahur.
Jarang yang bertanya atau berbincang tentang berapa surah daripada 114 surah al-Quran, berapa juzuk daripada 30 juzuk kitab suci itu dan berapa ayat daripada 6,236 ayat keseluruhan al-Quran,
Daripada jumlah itu, 4,780 daripadanya diturunkan di Mekah dan dinamakan surah/ayat Makkiyyah manakala 1,456 ayat lagi diturunkan di Madinah dan dinamakan surah/ayat Madaniyyah yang sudah dibaca dihayati.
Juga jarang ditanya pada malamnya pula apakah diisi dengan sembahyang sunat terawih, dilipatgandakan sembahyang sunat tahajud, sunat tasbih dan macam-macam sembahyang sunat atau masih kekal pada bulan-bulan Ramadan yang lepas-lepas, banyak masa dihabiskan dengan bersantai di warung-warung menikmati pelbagai hidangan santai ketika rakan-rakan yang lain di masjid, surau atau madrasah, bertarawih.
Pada siang harinya pula apakah ditukar tabiat daripada bercakap tentang hal-hal keduniaan yang bersifat mengumpat individu-individu tertentu, kepada membanyakkan berzikir dan beristighfar dan juga menyambung bacaan al-Quran yang dibaca pada malam hari atau menjelang pagi serta selepas sembahyang Subuh supaya cepat khatam.
Yang kena diperakukan bahawa Ramadan memang bulan pesta, bulan bonus, bulan Mega Sale dan aneka macam mega tetapi bukan dalam bentuk pesta melambakkan pelbagai juadah di meja makan, lebih-lebih lagi hingga sampai ke tatap menyumbang kepada pembaziran.
Sebaliknya Ramadan adalah bulan Allah SWT melelong, membuat Mega Sale dan memberi bonus pahala berganda kepada hamba-hamba-Nya yang mengambil kesempatan dari mubaraknya Ramadan untuk bertaubat nasuha dan memperbanyakan ibadah dengan ganjaran berganda berbanding dengan bulan-bulan biasa.
Selain para penjual mendapat laba dari kelarisan jualan juadah berbuka dan bersahur, kita tidak akan dapat laba apa sepanjang Ramadan kalau kekalkan tabiat menjadikan bulan Ramadan sebagai pesta juadah. Sedangkan dari sudut amal ibadahnya tidak meningkat pun dan tetap juga kekal pada tahap biasa.
Apatah lagi jika yang berdosa membiarkan diri kekal dengan dosa tanpa bertaubat nasuha.
Semalas mana pun kita, kena usahakan juga supaya khatam al-Quran sekali dalam bulan puasa yang mana kalau bulan-bulan biasa setiap ayat yang dibaca akan dibayar dengan 10 kebajikan oleh Allah.
Jjika dibaca keseluruhan ayat al-Quran yang mengandungi 1.2 juta huruf dibaca kita akan dapat 12 juta kebajikan, bila al-Quran dibaca pada bulan puasa, maka jumlah kebajikannya tentulah berlipat kali ganda lagi.
Demikian juga dengan amalan-amalan lain termasuk bersedekah, sembahyang sunat, berzikir, beristighfar, memulakan penghidupan baru yakni meninggalkan kehidupan mungkar kepada kehidupan yang diredai-Nya akan diganjarkan juga dengan pahala yang berganda.
Rugi benar kalau kita tidak rebut peluang yang Allah sediakan sepanjang Ramadan.
Kementerian akan bertindak

Sumber : Utusan Malaysia
PUTRAJAYA 19 Ogos - Guru-guru yang didapati mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu sepenuhnya sebelum dasar pembelajaran dan pengajaran kedua-dua subjek itu diadakan dalam dwibahasa pada 2010, akan dikenakan tindakan.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, buat masa ini semua guru yang mengajar kedua-dua mata pelajaran itu masih perlu menggunakan bahasa Inggeris kerana buku teks dan perisian komputer adalah dalam bahasa itu.
''Pengetua dan Guru Besar diberi tanggungjawab memantau perkembangan ini kerana pemansuhan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) hanya bermula 2012.
''Kita akan ambil tindakan terhadap guru dan pengetua yang ingkar kerana mereka tidak boleh langgar dasar kerajaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas rungutan segelintir ibu bapa yang mendakwa ada guru yang sudah mula mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu.
Alimuddin menambah, guru-guru hanya dibenarkan mengajar dalam dwibahasa mulai 2010 memandangkan pada ketika itu buku-buku teks dalam bahasa Melayu sudah mula ada.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, lima buah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) akan dijadikan pusat pengkhususan Bahasa Inggeris bagi pra dan dalam perkhidmatan.
Ia membabitkan Institut Perguruan Malaysia, Kampus Bahasa Antarabangsa (IPBA), Kuala Lumpur; English Learning Teaching Centre (ELTC) Kuala Lumpur; IPGM Datuk Razali, Kuala Terengganu; IPGM Rajang, Sarawak dan IPGM Gaya di Sabah.
Ditanya mengenai status elaun kritikal yang diperoleh guru-guru Sains dan Matematik selepas pemansuhan PPSMI, beliau berkata, perkara itu masih belum dibincangkan lagi.
Selasa, 1 September 2009
Kembali ke sekolah...

Hari ini tanggal 1 September 2009, murid dan guru-guru kembali semula ke sekolah setelah bercuti rehat selama
seminggu. Mudah-mudahan cuti ini dapat menyegarkan kembali semangat kita untuk membuat yang terbaik untuk
agama, bangsa dan negara.
Hari ini juga merupakan hari ke sebelas umat Islam berpuasa, ini bermakna kita telah berada di fasa pertengahan
ramadhan. Sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis, pertengahan puasa adalah keampunan Allah kepada umatnya.
Isnin, 31 Ogos 2009
Persediaan Terakhir sebelum UPSR
Dalam sedar tak sedar, peperiksaan UPSR 2009 hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Adakah murid-murid tahun 6 sudah bersedia?? Jawapannya hanya ada pada anda.. Kami guru-guru telah membuat segala persediaan sekarang adalah masanya bagi murid-murid tahun 6 menterjemahkan segala ilmu yang telah diperolehi ke dalam kertas peperiksaan. Mudah-mudahan kejayaan sentiasa bersama-sama dengan kita...


